PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2019

Salam Sejahtera,

Marilah kita semua memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita masih diberikan kesempatan meneruskan nikmat kehidupan di  Tahun 2019. Dengan itu, saya mengingatkan diri saya dan semua warga kerja Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) supaya mengambil peluang ini untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dan berintegriti ke arah menjadikan PERHEBAT sebuah agensi terunggul dalam pengurusan Latihan Peralihan kepada bakal pesara dan veteran ATM.

Saya berbangga kerana pada tahun 2018 kita telah berjaya melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan cemerlang. Sebagai institusi unggul dalam pengurusan latihan kepada bakal pesara dan veteran ATM, PERHEBAT harus mempertingkatkan kecekapan, akauntabiliti, integriti, ketelusan dan etika dalam pelaksanaan tugas yang telah diamanahkan. Sistem penyampaian PERHEBAT perlulah cekap, tepat dan berkesan. Justeru itu, semua warga PERHEBAT adalah dipohon untuk memberi kerjasama kepada pengurusan tertinggi PERHEBAT yang telah mengatur beberapa perubahan yang perlu dilaksanakan. Misalnya, adalah dihasratkan Bussiness Model PERHEBAT 2019-2030 dapat dimuktamadkan dan diterima pakai selewat-lewatnya suku pertama tahun 2019.

Dalam memberi khidmat terbaik kepada bakal pesara serta veteran ATM dan pemegang taruh, warga PERHEBAT perlu sentiasa bersedia melaksanakan perubahan dalam mengharungi segala bentuk halangan yang dihadapi. Justeru itu, saya mengesa semua warga PERHEBAT untuk terus membulatkan tekad bekerja bersungguh-sungguh secara berpasukan dalam mengharungi Tahun 2019 yang lebih mencabar ini.

Saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua bahawa kerja yang kita laksanakan setiap hari adalah suatu ibadah. Demi menjadikan ibadah kita diterima oleh Allah swt, maka laksanakan lah amanah itu dengan penuh berintegriti.

Bagi menentukan program Latihan Peralihan mencapai objektif, kita perlu memastikan bakal pesara tentera mengikuti Latihan Peralihan secara berstruktur samada di PERHEBAT maupun di institut latihan luar.

Dalam masa yang sama, saya juga amat berharap supaya kursus-kursus yang ditawarkan oleh PERHEBAT dikaji dan tambah baik dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan pasaran pekerjaan dan kehendak industri.

Kita juga perlu berusaha secara berterusan untuk pembangunan usahawan dan penempatan pekerjaan veteran dengan memanfaatkan jalinan strategik sediada dan mencari rakan kolaborasi baru.

 Saya juga berharap agar bakal pesara dan veteran ATM bijak menggunakan peluang dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan  melalui PERHEBAT bagi membantu mereka mencorak penghidupan baru yang lebih baik apabila bersara kelak. Mereka perlu bersedia dari segi mental, ilmu pengetahuan dan menggunakan kemahiran dan pengalaman dalam ATM untuk berjaya dalam kerjaya kedua.

Selaras dengan Visi dan Misi, PERHEBAT adalah komited untuk meningkatkan kesejahteraan hidup veteran ATM dengan menyediakan kepelbagaian program latihan yang menjuruskan kepada kebolehpasaran pekerjaan. Saya amat yakin dengan sokongan Kerajaan dan kerjasama agensi yang berkenaan seperti JHEV ATM, persatuan dan kelab Veteran ATM serta penglibatan pihak industri matlamat ini dapat dicapai.

Saya doakan serta mengharapkan warga PERHEBAT terus komited dalam menjalankan amanah mendokong tanggungjawab sekaligus menyokong Kerajaan membangunkan Negara dengan menyediakan modal insan yang berkemahiran tinggi. Marilah kita bersama mengharungi tahun 2019 dengan penuh kecemerlangan.

Selamat Tahun Baharu 2019.

Wabillahi-taufik-walhidayah. Wassalamualaikum-Warahmatullahi-wabarakatuh.

Sekian, terima kasih

Leftenan Jeneral Dato’ Sri Abdul Aziz bin Ibrahim (BERSARA)

Pengerusi

PERHEBAT